12 February 2017

Aku dan Minda Kalian




p/s : ENTRY KALI INI HENDAKLAH DI BACA PERLAHAN-LAHAN DIDALAM HATI KALIAN! FAHAMI SETIAP SATU PERKATAAN DAN AYAT! 
Aku duduk berteleku depan laptop yang menjadi teman saban hari. Memicit-micit punat papan kekunci adakalanya terlalu laju sehingga tersalah tutur ejaannya. Tertinggal beberapa ketul hurufnya. Menjadi bahan ketawa sebahagian dari kawan-kawan..

Senyum aku sendiri. Adakalanya blog aku terlalu sunyi untuk diisi. Kadang-kadang terlalu padat dengan kisah yang tidak berasas. Kadang-kadang penuh dengan ilmu alam yang singgah menjengah minda dan ada sesetengahnya kisah tentang diri yang aku bentangkan, luas menjadi tatapan kalian. Ya kalian.

Mengajak kalian bermain dengan imaginasi. Sedikit memasuki dunia peribadi aku. Menjemput emosi kalian menjalar bersama jalan cerita yang aku sediakan.

Perlahan aku menaip malam ini..membiarkan semua minda menembusi setiap bunyi ketik punat-punat papan kekunci ku. Biarpun kalian tidak mendengarnya. Tetapi apbila kalian membaca entry ini dengan fokus dan mendalaminya, secara automatiknya kalian bisa dengar setiap ketikkan papan kekunci ini di dalam rumahku yang sunyi. Seperlahan ini, meneliti satu persatu huruf yang di ketik.

Kemudian aku berhenti dari menaip. Mempersilakan diri membaca semula ayat-ayat diatas. Memaksa mata mencari salah ejaan bagi karangan diatas. 

Hidupkah tulisan ini??

Ya! Ia hidup. Di dalam imaginasi aku. Sama seperti mana di dalam imaginasi kalian.
Adakah kalian sedang membayang aku duduk di hadapan TV yang terpadam, sunyi, di ruang tamu, luas, gelap, sambil sebuah laptop diatas meja kecil menyala dan aku bersila, menaip sebegini?

Terbayangkah dek kalian?

Mampukan tulisan ini memainkan peranan membiarkan minda kalian berbayang-bayang akan aku yang tidak punya senyuman, serius menaip disini?

Adakah terlihat oleh kalian Hot Chocolate yang berada disisi laptopku yang masih panas?

Aku berhenti menaip lagi.

Kali ini cuba menyentuh mug Hot Chocolate yang panas berasap. Perlahan aku tiup, mendekatkan mulut mug ke muncung tirus ku. Sedikit aku hirup.

Berubah air muka ku. Ia masih panas, terasa bagai melecur lidahku. Laju tanganku mengipas-ngipas lidah yang terjulur. Kembali meletakkan mug disisi laptop beralas coaster cork. Aku menarik tisu dan mengelap hujung lidahku.

Tahukah aku sedang menipu kalian?

Ya.Yang sebenarnya, dari tadi aku tidak pun berhenti menaip. Perasankah kalian bahawa aku tidak langsung berhenti menaip dari tadi?

Ini kerana kalian sudah berada dalam dunia penulisan ku.
Tidak perasan yang aku cuma bermain dengan kata-kata yang membolehkan kalian membayangkan kalau aku berbuat demikian sedangkan sebenarnya tidak.

Nampaknya aku berjaya membuat kalian terjebak.

Adakah kalian sedang suka?

Ataukah kalian sedang marah dengan entry ini yang benar-benar membuat fikiran kalian terbang mencari kelibat aku dalam khayalan kalian? Membayangkan aku sedangkan kalian bukan disini bersamaku?

Aku tertawa kecil.

Ini bukan permainan. Tapi ini medan untuk aku menjemput minda kalian bersama aku. Sebenarnya aku disini tatkala menaip juga cuba membayangkan kalian sedang berkhayal tentangku.

Aku menarik nafas, lalu aku lepas perlahan. Kali ini aku mencari sebuah buku, yang tadi aku letakkan di belakang laptopku, diatas meja kecil ini, tapi sudah tiada disitu.

Dimana agaknya buku tadi?
Aku mendongak ke dinding kanan memandang suis lampu, terasa malas aku bangun untuk picitkannya agar ruang tamu ini terang. Lalu aku terkial-kial di dalam gelap mencari buku. Sinaran skrin laptop menjadi lampu suluh untuk mencari.

Oh! Rupanya jatuh disisiku. Lalu aku ambil, buka dan belek jadual untuk esok. Ya banyak agendanya esok.
Lalu aku tutup perlahan.

Nampak kah kalian apa agendaku esok?

Sekali lagi kalian bermain dengan imaginasi sendiri.
Aku sengaja. Namun maafkan aku.

Sekarang aku sudah malas menaip.
Lalu aku katakan pada kalian.

Selamat malam dan jangan marahi aku kerana permainkan imaginasi kalian malam ini..
Sekadar berseronok.
Aku tahu. Kalian senyum setiap kali aku menegur kalian sudah memasuki dunia penulisanku.

Senyumlah..
Aku disini untuk kalian berimaginasi..aku juga sedang senyum..seperti mana kalian..
Sekian
Tata..Salam

No comments:

Post a Comment