07 September 2023

Renjana Atma Nuha Elayla - PART 1

   PART 1

    Aku, terasa sunyi dalam hiruk-pikuk, terasa keseorangan dalam padatan manusia, terasa kosong dalam kepenuhan dan terasa gelap dan terangnya matahari. Jiwa itu tidak tenang, jauh dari rasa lapang. Fikiran itu berkecamuk, entah mana yang nak didahulukan. Bising benar minda itu, banyak kenangan bergentayangan.

        Diam seorang wanita tu, sebenarnya bukan sekadar diam. Diam itu penuh erti bahawa rasa itu sedang memudar, perasan sedang berkurang, kasih sedang mereput, sayang sedang melayang dan cinta sedang memadam. Tingkah wanita yang tawar hatinya tidak lagi sibuk mencari tahu, tidak lagi peduli. Marah itu sudah terbenam bersama kesakitan. Yang ada cuma rasa kecewa. Pengharapan yang tinggi punah dek kerana kebodohan seorang lelaki.

    Ya, kisah cinta aku yang hancur berantakkan, rumah tangga aku yang hilang serinya dan semakin terkubur. Diabaikan sehingga terasa keseorangan. Tidak dipeduli bagai bahan buangan. Bahagia itu terlalu jauh untu aku gapai. Gurau senda tidak lagi menjadi hiburan. Berbual hanya perkara yang perlu dibicarakan. Pelbagai cara aku usahakan, namun semuanya hanya bertemu jalan yang buntu.

    Tiada kerjasama dari dia lelaki yang aku cinta separuh nyawa. Tiada lagi sentuhan kasih sayang antara kami yang dulunya hangat. Yang ada cuma herdikkan, cacian, kemarahan penuh emosi, penghinaan, terkadang aku merasa terlalu rendah aku diletakkan. Bagai maruah aku bukan untuk dijaga, tapi untuk dihenjakkan.

    Setelah kekuatan itu aku kumpulkan, maka aku nekad membuat keputusan, untuk keluar dari kesakitan. Kesakitan yang datang dari cinta yang aku junjung selama ini.

    Pertama kali aku melihat dari air mukanya, terkesima. Saat aku minta dilepaskan, terlihat dari wajahnya bagai cinta itu berderai, berkecai enjadi serpihan kecil yang takkan mampu dicantumkan. Dia, suami yang aku sanjungi terpana melihat aku senekad itu. Ya, aku senekad itu. Kali ini, biar perpisahan sahaja mengatur langkah kami. 

    Seminggu berlalu. Hari ini aku perlu ke Mahkamah untuk memfailkan penceraian. Ini kali pertama aku bertemu dia setelah pertengkaran hebat itu terjadi. Hari ini langkah pertama untuk aku dan dia berpisah menjadi ajnabi. Dia bukan lagi muhrimku selepas ini.

    Aku dari awal pagi bersiap, laju memesan kereta Grab untuk bawa aku ke stesen KTM (Keretapi Tanah Melayu). Dari situ aku melangkau beberapa stesen untuk sampai ke MRT (Mass Rapid Transit). Dari stesen MRT aku yang aku turun, perlu aku ambil kereta Grab lagi untuk menuju ke Mahkamah Rendah Syariah. Berseluar jeans, berkemeja longgar, kasut bertutup dan berselendang paras dada aku hari ini. Langkah itu tidak terlalu bersemangat, tidak juga terlalu lemah.

    Ada sedikit takut. Ada sedikit gementar disitu. Namun sedih menutupi segala rasa yang membelenggu diri. Ya, aku yang meminta dilepaskan. Aku yang mahu berpisah. Aku yang mahu mengakhiri. Tapi sedih itu tetap menjalar hingga jatuh air mata. 

"Untuk apa kau tangisi lelaki seperti dia yang tidak menghargaimu?" Bilang mereka.

"Jangan kau menangis sedangkan kau diperlakukan tidak ubah seperti tiada bersuami selama ini" Ungkap mereka

    Mungkin mereka lupa, dialah lelaki yang aku iginkan, dia adalah suami yang aku kahwini atas cinta dan kasih sayang yang aku miliki. Tidak berhak kah untuk aku sedih meninggalkan lelaki itu? Tidak berhak kah aku tangisi cinta yang tererai ini? Pernah ada cinta, kasih, sayang yang berbunga kerana dia. 

    Sesampai di mahkamah. Aku terlihat dia dengan kurta putih, berseluar hitam, berkasut dan bersongkok. Namun badannya kelihatan susut sekali. Susah hati untuk melepaskan mungkin. Andai sebegitu dalam cinta dia untuk aku, kenapa jugalah aku diabaikan dan dilayan seperti sampah selama ini?

"Ya Cik Puan, aduan apa?" Pegawai mahkamah di kaunter menegur.
"Saya nak failkan penceraian" Ujarku dengan suara yang bersulam sebak.

"Baiklah, semua borang dah ada ke?" Pegawai itu bertanya lagi.

Aku hulurkan padanya sampul surat bersaiz A4 yang dipenuhi borang-borang yang aku cetak, isi sepenuhnya dan dicop seperti yang diarahkan. Lalu dia membuka sampul surat itu.

"Penceraian biasa atau mahu Fasttrack?" Soal pegawai itu.

"Kalau nak buat Fasttrack, perlu ada suami sekali. Keadaan Puan perlu suci dari hadas dan suami isteri bersetuju untuk bercerai." Sambungnya lagi.

"Suami ada sekali?" Pegawai itu bertanya. 

Aku mengangguk perlahan. Lalu aku palingkan kepala kearah suamiku. Aku tunjukkan isyarat memanggilnya.

"Encik setuju bercerai?" Pegawai itu memandang tepat kearah suamiku.

Soalan pegawai itu di sahut dengan gelengan kepala suamiku. Saat ini, yang aku rasakan lemah. Longlai seluruh tubuhku. Aku pejam mata. Mengapa terlalu payah bagimu? Soalku dalam hati.

"Saya mahu keadilan untuk pihak saya juga. Saya perlu pertimbangkan dari segala aspek. Saya perlukan masa untuk berfikir." Jawabnya serius.

"Kalau begitu kata encik, maka tidak boleh lah kita terus ke FastTrack. Dengan ini, Puan dan Encik akan dapat tarikh untuk datang ke mahkamah. Sebentar, saya semak tarikh yang tersedia. Encik dan Puan duduk dahulu, tunggu sehingga saya sediakan surat dan tarikhnya" Pegawai itu berdiri dan menunjukkan arah untuk kami menunggu.

    Aku duduk disamping suamiku, berselang satu kerusi.

"Kenapa sampai mahu bercerai? Tak bolehkah kita berbincang dahulu? Dari hari pertengkaran, sampai saat ini, tidak sekalipun saya dapat berbincang dengan awak." Ujar suamiku dengan nada lembut dan mendatar.

"Saya minta maaf, saya tidak mahu perbincangan. Selama ini, setiap kali saya mengajak berbicara soal rumahtangga, awak mengabaikan. Awak tiada dirumah untuk saya. Awak tidak mempedulikan saya. Dan saat saya mahu semuanya diakhiri, awak baru berfikir tentang berbincang?" Ujarku sedikit tegas dalam bisikkan. Risau didengari orang keliling.

"Saya tahu saya salah. Tapi tidakkah masih punya peluang untuk saya ubah?" Tekanan suaranya kedengaran biarpun perlahan.

"Telah habis kata untuk saya bicarakan. Selama ini, saya cuba meluahkan apa yang perlu awak buat dalam rumahtangga ini. Bukan untuk saya semata, tapi untuk rumahtangga ini. Saya perjuangkan seorang selama ini" Aku tunduk, sebak, suaraku mulai bergetar.

    Hari ini, tarikh yang ditetapkan telah kami dapatkan. Sebulan selepas hari ini, perlu kami bertemu lagi disini. Aku masih ada satu bulan menjadi isteri. Akan aku gunakan sebaiknya. Takkan aku sia-siakan. 

No comments:

Post a Comment