03 June 2015

Keistimewaan #3 – Saling Berkasih-sayang




Anda ingin melihat contoh kasih sayang yang tak bertepi? Peliharalah kucing. Kucing menyayangi tuannya tanpa syarat.

Betapa sayangnya seekor kucing pada tuannya, tidak kucing itu benarkan tuannya melakukan derhaka pada Tuhan. Kenapa saya kata begitu?

Waktu Subuh saya dikejutkan oleh kucing yang paling rapat dengan saya. Selagi tak bangun, selagi itulah kucing hitam ini akan berbunyi dengan nyaring betul-betul di telinga sambil menjilat-jilat telinga saya.

Sebaik sahaja saya mengalah dan bangun bersolat, barulah kucing ini berhenti mengganggu. Haiwan dan tumbuhan itu kan makhluk Allah yang paling redha pada ketetapan hidupnya dan paling kenal siapa Tuhannya.

Di sini saya belajar suatu yang bermakna dari kucing, jangan ingkar pada Tuhan.

Satu lagi kisah mengenai kasih sayang kucing. Kucing mempunyai deria bau yang tajam berbanding manusia.

Apabila terdapat sel-sel kanser di dalam tubuh tuannya, kucing akan cuba memberitahu tuannya itu agar membuat pemeriksaan di kawasan yang menjadi tumpuannya itu (isyarat secara bahasa kucing: mengiau, meminta perhatian dan sebagainya).

Kes-kes seperti ini banyak dilaporkan oleh pertubuhan kesihatan di luar negara.

Apa lagi tanda kasih sayang kucing kepada tuannya? Kucing akan pastikan rumah tuannya bersih dari haiwan perosak seperti serangga, cicak dan tikus.

Mana ada kucing yang akan membiarkan haiwan-haiwan ini bebas berpeleseran di rumah tuannya. Lepas tangkap, kucing di rumah kami akan tunjukkan hasil tangkapan itu kepada kami (kucing-kucing kami tak makan buruan ni).

Sebagai tanda terima kasih, kami upah pula dengan pujian, usapan dan makanan yang enak untuknya.

No comments:

Post a Comment