07 June 2015

Keistimewaan #7 – Dimurahkan Rezeki




Apabila memelihara kucing diniatkan sebagai sedekah, maka kelebihan-kelebihan sedekah juga akan diterima oleh tuan kucing.

Antara ganjaran yang sering menjadi pendorong dalam bersedekah adalah janji Allah swt untuk melipatgandakan pulangan sedekah dengan rezeki yang melimpah-ruah.

Saya berani katakan janji Allah swt ini sangat benar kerana bukti di depan mata saya sendiri. Rezeki harta adik perempuan saya yang sangat mencintai kucing dan paling berlemah-lembut kepada kucing sangat luas dan melimpah ruah berbanding saya yang biasa-biasa saja.

Sebelum keluar keputusan SPM, adik saya sudah mendapat tawaran sambung belajar dengan biasiswa penuh. Sebelum keluar keputusan ijazah, adik saya sudah mendapat kerja di Petronas. Keputusan akademiknya sangat cemerlang, kerja sekarang bergaji besar.

Alhamdulillah sudah berumahtangga dan dikurniakan cahaya mata. Sudah memiliki berapa buah rumah? Tak perlu saya kongsikan, percayalah memang murah rezekinya. Saya dan mak selalu berkata, Ummu Hurairah yang sentiasa didoakan kucing kerana kasih sayangnya pada kucing.

Ya, boleh jadi kerana doa kucing hidup kita aman. Kucing adalah haiwan yang memiliki perasaan dan kucing juga boleh mengadu dengan Allah swt tau. Saya bukan mendakwa tanpa asas tetapi melalui kisah Rasulullah saw sendiri.

Ya’la bin Murrah menceritakan kisah seekor unta yang datang kepada Nabi dengan berlinangan air mata.

Rasulullah bertanya: “Di mana pemilik unta ini? Ia mengadu kepadaku banyaknya kerja dan sedikitnya makanan yang diberikan kepadanya. Berbuat baiklah kepadanya.”

Riwayat Ahmad

Ini kisah unta yang mengadu pada Rasulullah saw tentang layanan yang diterima dari tuannya. Apakah mustahil bagi haiwan lain seperti kucing untuk mengadu kepada Tuhan tentang tuannya? Apakah mustahil bagi kucing untuk mendoakan terus kebaikan tuannya kepada Tuhannya?

No comments:

Post a Comment