15 August 2017

Naungan Hati Part 1



Satu persatu batu kecil ditangan kucampakkan kedalam tali air. Tenang benar petang ini. Aku melihat makcik-makcik beramai-ramai duduk di pangkin rumahku. Berborak entah apa modalnya sambil meraut daun kelapa dari lidinya. Sekejap ketawa mereka berdekah, sekejap berbisik-bisik suara mereka. Di sisi rumah kelihatan adikku si Adi yang dari tadi mencakar sampah, hujan pagi tadi meluruhkan banyaknya daun dari pohon ketapang itu. Si Adilah orang yang paling suka mencakar sampah, sudah dikumpul semua daun kering, dibakarnya.

"Nuha, buatkan kopi nak" emak menjerit dari pangkin.
Aku sedikit tidak menjawap namun bingkas bangkit, menyapu-nyapu kain batik bahagian punggungku lalu melangkah kedapur. Mencari balang berisi kopi dan gula serta menjerang air panas.

"Ni mak kopinya mak" Aku hulurkan talam berisi biskut lemak didalam piring seramik putih berbunga merah bersama set cawan dan teko yang mak beli dari Kak Mira si agen Giacomo.
Emak menyambut talam dan diletakkan diatas pangkin disebelah lidi yang sudah diraut. Perlahan-lahan menuang kopi ke setiap cawan lalu diletakkan cawan-cawan dan piring biskut lemak di atas pangkin, di tengah-tengah bulatan makcik-makcik. 

"Nuha, kau tak cari kerja? Sudah hampir 4 bulan SPM berlalu." Makcik Zainab menyoalku.
"Dia tunggu anak raja masuk meminang dia Mak Nab" sahut si Adi separa jerit.
"Anak raja mana? Anak raja Johor pun dah kahwin. Nak tunggu yang bongsu? Kelaut lah Nuha oi". Seloroh Mak Nab.
Yang lain hanya menyahut dengan ketawa.

Ya, aku Nuhamaira Samad. Budak kampung Nakhoda yang mereka bilang pendiam dan selalu bermain dengan imaginasi sendiri. Mereka bilang aku si gadis yang entah mana arah tujuannya. Sedang aku tahu mana hala tujuan hidupku. Aku punya perancangan tersendiri. Tapi sudah memang sikapku, tidak pernah aku menyuarakan atau berkongsi dengan kedua ibu bapaku, apatah lagi si Adi.

Kami dua beradik. Aku sulung, aku mahu jadi tunjang utama keluarga. mahu menaikkan taraf hidup ibu dan ayahku. Mahu Adi belajar disekolah sukan kerana dia minat benar dengan sukan.

"Nuha! Nuha! Nuha! Mana kau? Sinilah. Aku ada cerita ni." Teriak si Mariam yang belum sempat pun menongkat basikalnya, menjerit pekik sambil melambai-lambai surat ditangannya.

"Anak dara macam tu ke Mariam? Cuba manis sikit perangai tu" teriak Mak Kinah, mak si Mariam yang turut meraut lidi di pangkin rumahku.

Mariam adalah sahabat, kawan, teman aku sejak dari sekolah tadika. Aku berlari kearahnya. Menyambut sampul surat putih dari tangannya.

Itu dia, Mariam mendapat surat dari pihak UIAM. Dia diterima. Ya. Aku gembira dengan surat itu. Gembira untuk si Mariam.

"Kau dapat tak Nuha?" Soal Mariam sambil membelek-belek surat tawarannya.

"Tak dapat kot" jawabku sebak.

"Tak dapat kot? Maksud kau? Kau dah terima surat penolakkan dari diorang ke Nuha? atau kau belum dapat apa-apa berita?" Soal si mariam bertubi-tubi.

Aku mencebik.
"Belum dapat surat. Tapi, kau, Zana, Syuhada dah dapat surat dari UIAM ni. Kalau aku belum dapat, maknanya tak dapat lah tu." Aku menyandar kepala kebahu Mariam.

"Jangan macam tu, kau pelajar cemerlang akademik dan sukan disekolah. tak mungkin tak dapat. Mungkin esok kau terima surat tawaran, siapa tahu?" Pujuk Mariam sambil mengusap-ngusap rambutku.

"Kau berdua ni, setiap kali berjumpa macam gitulah gayanya. Macam dah tak berjumpa bertahun-tahun, padahal, pagi tadi baru jumpa." sindir si Mak Nab.

"Biarlah kitorang Mak Nab. Mak Nab best friend dengan mak, Mak Zah, Mak Melur, Mak Kiah, Mak Minah. Kami berdua saja tau. Tak ramai geng macam Mak Nab and friends" sahut si Mariam.

Berdekah lagi ketawa mereka.

Ya, mak aku (Mak Zah), mak Mariam (Mak Kinah), Mak Nab, Mak Melur, Mak Kiah dan Mak Minah memang rapat. Mereka selalu bersama. Ya lah, orang tua, suri rumah masing-masingnya, apa lagi yang mereka boleh buat.

Aku masih menyandar kepala di bahu Mariam. Kutenung surat tawaran UIAM Mariam yang ada ditanganku.

'Ya Allah, kau bantulah aku. Aku tiada niat lainnya selain dari menolong ibu bapaku dan adikku. Ingin benar aku merasa sambung belajar, punya ijazah atau mungkin Master. Ini impianku. Kahwin? Biarlah dahulu. Biar berjaya hidupku dulu, jodoh akan kucari selepas aku berjaya'

Aku berbisik doa didalam hati.

**Nak tahu Nuha dapat atau tak tawaran itu?? kena la tunggu entry lainnya. Sabar ya semua.**

Terima kasih kerana sudi datang membaca. 

No comments:

Post a Comment